Pejuang Sastera A. Samad Said



Datuk Dr. A. Samad Said dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Beliau mendapat pendidikan asas dan menengah di Singapura iaitu di Sekolah Melayu Kota dan Victoria Institution.  Dari situ, beliau belajar sendiri hingga memperoleh sijil Senior Cambridge (1956). Beliau pernah berkerja sebagai kerani di Hospital Umum Singapura. Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat di beberapa buah syarikat akhbar di Singapura dan Kuala Lumpur, antaranya Fikiran Rakyat, Utusan Zaman, Utusan Melayu, The New Straits Times dan Warta Teberau. Kini A. Samad Said menumpukan seluruh masa dan perhatiannya kepada bidang penulisan.

Pencapaian dan sumbangan Samad Said dalam memperkaya dan meninggikan nilai kesusasteraan Melayu telah mendapat penghargaan pemerintah apabila pada 29 Mei 1976, bersama-sama beberapa orang pengarang lain, beliau diiktiraf sebagai Pejuang Sastera.  Tahun 1979, juga turut memberi erti kepada Samad, apabila beliau dilantik oleh Perdana Menteri sebagai salah seorang anggota panel Anugerah Sastera dan dalam tahun yang sama, beliau telah dipilih menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Awards).  Kemuncak pencapaian Samad sebagai sasterawan ialah apabila beliau dinobatkan sebagai Sasterawan Negara 1985. Dalam tahun 1993, A. Samad Said menerima Anugerah ASEAN 1993 (Kategori Sastera) dari Negara Brunei Darussalam. Selain pengiktirafan dalam bidang sastera, A. Samad Said juga telah dianugerahkan darjah kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran `Datuk’ dalam tahun 1997 oleh Yang Dipertua Negeri Melaka.

Novel pertamanya, yang asalnya berjudul Gerhana  kemudian diterbitkan dengan judul Salina ialah sebuah novel yang tebal dan berjaya mengangkat martabat kesusasteraan Melayu ke tahap yang disifatkan oleh Profesor A.  Teeuw dan sesetengah sarjana sebagai bertaraf antarabangsa. Karya novel beliau yang lain adalah seperti Salina,  Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Langit Petang dan Daerah Zeni.  Di samping novel, Samad juga memperlihatkan kekuatannya dalam penulisan puisi seperti yang terkumpul dalam kumpulan Liar  di Api, Benih Harapan (1973), Daun Semalu Pucuk Paku (1975) dan Benih Semalu (1984).

Inilah tokoh pejuang sastera yang tiada penat lelah dalam menghadapi cabaran untuk meningkatkan martabat sastera di persada dunia.

Comments

Popular posts from this blog

Kumpulan cerpen: Seketul Hati Seorang Pemimpin karya Shahnon Ahmad

ASRAR I KHUDI (RAHSIA-RAHSIA DIRI)

TEATER REALISME “WAKTU SESUDAH ITU” DARI PRODUKSI: KERABAT KREATIF TEENS AND THEATRE UTM SKUDAI